ABU Ayyub Al-Ansari atau nama sebenarnya Khalid bin Zaid bin Kulaib berasal (berketurunan) daripada Bani An-Najjar. Beliau
mendapat penghormatan Rasulullah SAW apabila baginda mendiami rumah
beliau selepas baginda memasuki Madinah, berhijrah dari Mekah. Ketika
Rasulullah SAW memasuki Madinah, setiap orang daripada kalangan kaum
Ansar bercita-cita (berkeinginan) supaya Rasulullah SAW turun daripada
unta baginda dan berhenti di rumah mereka. Mereka menghalang
perjalanan unta Nabi SAW secara silih berganti supaya unta baginda
menghala ke rumah mereka, kemudian Nabi bersabda kepada mereka:
"Biarkanlah ia pergi kerana ia telah diperintahkan." Lalu unta tersebut
terus berjalan sehinggalah ia berhenti di halaman rumah Abu Ayyub
al-Ansari r.a. Abu Ayyub terlalu gembira melihat keadaan tersebut,
lalu beliau terus mendapatkan Rasulullah SAW, menyambut kedatangan
baginda dengan perasaan terlalu gembira dan rasa amat terharu sambil
membawa barang-barang yang dibawa oleh Nabi SAW seolah-olah beliau
membawa khazanah yang begitu bernilai, kemudian terus masuk ke rumahnya. Rumah
Abu Ayyub r.a terdiri daripada dua tingkat. Nabi SAW memilih tingkat
bawah supaya baginda boleh berjumpa para sahabat di mana mereka dapat
masuk dan keluar dengan mudah. Tetapi keadaan tersebut menyebabkan Abu
Ayyub tidak dapat tidur di tingkat atas, malah beliau tidak dapat tidur
sedikit pun pada malam tersebut sehingga menjelang waktu pagi. Lalu
beliau datang berjumpa Rasulullah SAW dan mengadu kepada baginda
mengenai keadaan tersebut, kemudian beliau meminta agar baginda
berpindah ke tingkat atas. Pada masa itu juga muka baginda
kelihatan ceria, lantas baginda berkata: "Janganlah kamu menyusahkan
diri kamu, wahai Abu Ayyub. Sesungguhnya kami lebih sesuai berada di
tingkat bawah kerana ramai orang datang berjumpa kami." Lalu Abu
Ayyub mengisahkan peristiwa tersebut: "Aku melaksanakan perintah
Rasulullah SAW tersebut sehinggalah berlaku pada suatu malam yang sangat
sejuk, kendi kami pecah menyebabkan airnya tumpah ke atas lantai di
tingkat atas. Lalu aku dan Ummu Ayyub (isteriku) terus bergegas ke
tempat air yang tumpah tersebut sedangkan pada masa tersebut kami tidak
memiliki apa-apa kecuali sehelai kain baldu yang kami jadikan sebagai
selimut. Kami menggunakan kain tersebut untuk mengelap air yang
tumpah kerana bimbang air tersebut menitis ke tingkat bawah tempat
Rasulullah SAW berada. Pada keesokan paginya aku berjumpa Rasulullah
SAW, kemudian aku berkata: Demi bapaku, kamu dan ibuku! Aku tidak suka
berada di atas kamu sedangkan kamu berada di bawahku. Setelah itu aku
ceritakan berita mengenai kendi tersebut.
Lalu baginda menerima
permintaan aku dan baginda bersetuju untuk naik ke tingkat atas,
manakala aku dan Ummu Ayyub pula turun ke tingkat bawah." Rasulullah
SAW menetap di rumah Abu Ayyub selama lebih kurang tujuh bulan
sehinggalah masjid baginda dibina, dilengkapi dengan bilik-bilik yang
terdapat di sekeliling masjid yang kemudiannya baginda berpindah ke
sana. Abu Ayyub adalah seorang yang berhati lembut, terlalu sayang
kepada Rasulullah SAW, sangat pemurah, suka memberi makan kepada orang
lain dan beliau memiliki sebatang pokok kurma di mana beliau
mengusahakannya untuk menampung kehidupannya dan keluarganya. Selain
itu, Abu Ayyub juga merupakan salah seorang pahlawan perang. Beliau
menyertai kesemua peperangan yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW,
begitu juga dengan peperangan yang berlaku pada zaman pembukaan kawasan
Islam, semuanya beliau sertai kecuali berlakunya beberapa peperangan
dalam satu masa. Abu Ayyub r.a tidak pernah ketinggalan turut
serta dalam peperangan yang diikuti oleh umat Islam semenjak zaman Nabi
SAW sehinggalah ke zaman Muawiyah. Pada zaman pemerintahan
Muawiyah, Muawiyah telah menghantar sepasukan tentera untuk membuka kota Constantinople di bawah pimpinan anaknya, Yazid. Pada masa
tersebut Abu Ayyub merupakan seorang yang telah tua. Umurnya menjangkau
80 tahun. Walau bagaimanapun, beliau tetap keluar bersama-sama dengan
pasukan tentera dan menaiki pengangkutan laut. Dalam pelayaran itu
beliau jatuh sakit. Pada masa panglima tentera mengunjungi beliau,
panglima bertanya kepadanya: "Wahai Abu Ayyub! Adakah kamu ingin meminta
sesuatu?" Lantas beliau meminta daripada panglima supaya tentera
mengusung beliau sekiranya beliau meninggal dunia, kemudian
mengkebumikan beliau di bumi musuh - mengkebumikan beliau di pagar
sempadan Constantinople. Ternyata beliau meninggal dunia pada masa
tersebut. Setelah peristiwa tersebut, tentera Islam berusaha
menyerang musuh sedikit demi sedikit sehinggalah mereka berjaya sampai
ke sempadan Constantinople dalam keadaan mereka mengusung jenazah Abu
Ayyub bersama-sama mereka dan di sana mereka menggali sebuah kubur untuk
Abu Ayyub, kemudian mengkebumikan beliau di pagar sempadan kota
tersebut...
Allah...

0 comments:
Post a Comment